6 MAC : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu bagi kawasan Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari hari ini mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam satu kenyataan Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor berkata, keputusan itu diambil selepas meneliti perkembangan semasa tanpa sebarang paksaan.
“Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan selepas saya meneliti titah ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri yang berada di landasan tepat demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
“Langkah ini juga adalah akibat beberapa tindakan Perikatan Nasional yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan dilemparkan kepada raja-raja Melayu,” katanya.
Rashid ADUN Bersatu pertama yang mengalih sokongan selepas Bersatu meminda Perlembagaannya bagi menghalang mana-mana wakil rakyatnya mengkhianati parti.
Ia susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang membuat pengisytiharan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Rashid, keputusannya itu bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutama penduduk di kawasannya.
“Saya kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN Selat Klang,” katanya.