6 MAC : Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini dilepas bebas daripada sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak.
Keputusan itu sebulat suara itu dibuat Mahkamah Rayuan oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera selepas membenarkan rayuan Isa.
Turut bersidang Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi memutuskan Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berkait pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh FELDA.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA di Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.