6 MAC : Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil.1/2024 hari ini membuat keputusan penting bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat laporan yang memaparkan beberapa lokasi di ibu negara sering berdepan kesesakan trafik kritikal hingga menyebabkan kadar kelewatan yang sangat tinggi termasuk di Jalan Bukit Bintang, Jalan Kuching dan Jalan Sungai Besi.
“Pertama, kerajaan melulus dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan perluasan lorong khas bas termasuk pembelian 100 unit van Demand Response Transit (DRT) di Lembah Klang bermula September 2024.
“Kajian pelaksanaan Lorong Khas Bas Prasarana di Jalan Ampang dan Genting Klang menunjukkan respon yang amat menggalakkan…berlaku penjimatan masa sehingga 18 minit bagi perjalanan bas di lokasi (point-to-point) dan atas penjimatan tersebut berlaku penambahan jumlah penumpang secara harian sebanyak 20 sehingga 45%.
“Dengan keberkesanan pengurangan masa perjalanan tersebut, peningkatan kekerapan bas dan jumlah penumpang harian, mesyuarat memutuskan untuk mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat tersebut di Putrajaya, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid memaklumkan mesyuarat itu juga bersetuju memperluas laluan bas khas ke Jalan Klang Lama bermula Jun 2024 serta melaksana kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras (Taman Connaught – Jalan Pudu) serta Lebuhraya Persekutuan (Pusat Bandar Kuala Lumpur – Persimpangan Shah Alam).
Selain itu, perkara lain yang diputuskan termasuk berkai pelaksanaan sistem penyuaraian baharu secara berperingkat untuk lokasi kritikal kesesakan setelah mendapatkan makluman Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, kerajaan juga melaksanakan laluan kontra bagi membantu kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak.
Selain itu, mesyuarat bersetuju agar PLANMalaysia meneliti cadangan projek pembangunan mengguna pakai konsep berasaskan Transit Oriented Development (TOD) sebagai satu langkah jangka masa panjang bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, khususnya di kawasan pembangunan dan pengoperasian stesen ECRL, MRT, LRT dan KTMB.
Bagi aspek keselamatan jalan raya, bagi tahun 2023, katanya, Malaysia mencatat jumlah kematian berkaitan lalu lintas sebanyak 6,443 orang setahun dengan purata 18 kematian sehari, bersamaan satu kematian sebanyak 80 minit.
“Daripada jumlah tersebut 4,480 kematian adalah pengguna motosikal dengan purata 12 kematian sehari dan satu kematian setiap 2 jam.
“Kerajaan akan terus melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya seperti program menaiktaraf infrastruktur keselamatan jalan raya termasuklah pembaikan permukaan jalan dan bahu jalan; menambahbaik papan tanda, garisan jalan, lampu jalan dan lampu isyarat.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memaklumkan penyuraian trafik Johor Bahru yang dikemukakan oleh kerajaan Johor turut dibangkitkan.
Mesyuarat itu juga bersetuju dangan cadangan membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 7.4km dan penambahan 175 kemudahan hentian bas oleh
Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang tahun 2024 di kawasan Lembah Klang.