6 MAC : Sepasukan peguam Australia telah merujuk perdana menterinya, Anthony Albanese ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai di kawasan Gaza, Palestin yang dikepung.
Birchgrove Legal yang memfailkan kes itu berkata Albanese adalah pemimpin pertama negara Barat yang dirujuk kepada ICC di bawah Perkara 15 Statut Rom.
Diketuai oleh Peguam Diraja Sheryn Omeri, pasukan undang-undang itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata mereka mengambil masa berbulan-bulan mendokumentasikan dakwaan bersubahat dan menggariskan tanggungjawab jenayah individu Albanese berhubung situasi di Palestin.
Pasukan itu berkata dokumen setebal 92 muka surat itu diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya ICC Karim Khan KC pada Isnin, dan disokong oleh lebih seratus peguam dan peguam bela Australia.
Bagaimanapun, Albanese pada Selasa menolak kes itu dan mendakwa pasukan undang-undang itu tidak mempunyai kredibiliti.
“Ia jelas tidak mempunyai kredibiliti…Saya tidak fikir bahawa penyelesaian damai dapat dicapai berdasarkan maklumat yang salah, dan terdapat begitu banyak maklumat salah mengenai apa yang berlaku,” kata Albanese sebelum menganjurkan sidang kemuncak khas pemimpin Asean di Melbourne, lapor Bernama.
Menurut Birchgrove Legal, dokumen yang dikemukakan kepada ICC menggariskan beberapa tindakan yang diambil oleh perdana menteri Australia dan menteri lain termasuk ahli parlimen (MP), Menteri Luar Penny Wong dan ketua pembangkang, untuk dipertimbangkan dan disiasat oleh pendakwa raya.
Dokumen itu termasuk pembekuan dana sebanyak AUS$6 juta kepada agensi bantuan PBB yang beroperasi di Gaza (UNRWA).
Ia mendakwa Canberra memberikan bantuan ketenteraan dan meluluskan eksport pertahanan ke Israel yang boleh digunakan oleh IDF (pasukan Israel) untuk melakukan genosid serta jenayah terhadap kemanusiaan.
Kumpulan itu juga mendakwa kerajaan Albanese “mengerahkan kontinjen tentera Australia secara mencurigakan ke rantau itu, dengan lokasi dan peranannya tidak didedahkan”.
Ini terutamanya tentera Australia yang membantu Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dalam serangannya ke atas Houthi Yaman yang telah melancarkan serangan ke atas kapal-kapal yang menggunakan bendera Israel di Laut Merah, sebagai tindak balas kepada perang Tel Aviv ke atas Gaza.
Selain itu, Birchgrove Legal berkata Canberra membenarkan warga Australia, sama ada secara jelas dan tidak, untuk ke Israel bagi menyertai IDF dan mengambil bahagian dalam serangannya ke atas Gaza.
Canberra memberi sokongan politik yang tidak berbelah bahagi ke atas tindakan Israel seperti yang dibuktikan oleh kenyataan politik perdana menteri (Albanese) dan ahli parlimen lain, termasuk ketua pembangkang.
Sejak serangan Israel pada 7 Okt di Semenanjung Gaza, kira-kira 30,534 penduduk terkorban dan 71,920 lagi cedera, selain kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Perang Israel telah mendorong 85 peratus penduduk Gaza berpindah di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk selain 60 peratus daripada infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah, menurut PBB.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di ICJ pada Januari dan mahkamah antarabangsa itu membuat keputusan sementara supaya Tel Aviv menghentikan tindakan genosid, selain mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan sampai kepada orang awam di Gaza.