7 MAC : Penting bagi Malaysia dan Australia bekerjasama, menggemblengkan sumber politik dan diplomatik untuk mendukung ketekalan dalam undang-undang antarabangsa dan menggalakkan keadilan ditegakkan serta saling hormat menghormati antara negara-negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan keupayaan dan kelebihan masing-masing, Putrajaya dan Canberra memberikan pelbagai kemungkinan.
Beliau berkata Malaysia dan Australia mempunyai kepentingan yang tinggi dalam mendukung kesucian undang-undang antarabangsa.
“Hanya dengan mematuhi sumber undang-undang antarabangsa yang diiktiraf seluruh dunia, sama ada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, pinggir tajam dalam interaksi antara negara boleh dihadkan.
“Kita tidak seharusnya memilih-milih dalam penggunaan undang-undang antarabangsa.
“Malangnya, tragedi mengejutkan yang terus berlaku di Semenanjung Gaza telah mendedahkan perbuatan demi kepentingan sendiri yang tidak dapat diterima ‘rules-based order‘,” kata Anwar dalam syarahannya pada Ucapan Gareth Evans 2024 ‘Mengemudi Arus Geopolitik: Peranan Penting Malaysia dan Australia di Asia Pasifik’ di Australian National University di Canberra, hari ini, lapor Bernama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata maklum balas berbeza dari Barat kepada penderitaan manusia seperti tidak masuk akal.
“Sebagai contoh mengapa Barat sangat lantang, bersungguh-sungguh dan jelas dalam mengecam serangan Russia ke atas Ukraine tetapi kekal menyepi dalam pembunuhan kejam ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah di Gaza? Sememangnya terdapat beberapa pengecualian tetapi ini sangat jarang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, lebih banyak pihak dari dunia Barat memberikan tentera Israel kebebasan sepenuhnya dalam pembunuhan warga Palestin.
“Bila Afrika Selatan membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di bawah Konvensyen Geneva, ada negara yang mengutuk bahawa ia adalah tidak produktif. Tetapi apa yang boleh lebih konsisten dengan sebarang tanggapan munasabah ‘rules-based order’ daripada rayuan terhadap peraturan itu di hadapan panel 17 hakim?,” kata Anwar.
Anwar berkata dengan negara berusaha untuk membina rantau yang lebih aman dan ekonomi yang bertenaga, beliau percaya ia satu kerja sia-sia untuk berfikir ‘peraturan antarabangsa liberal’ dan penggunaan prinsip, peraturan serta norma yang tidak konsisten akan berlalu tanpa disedari.
“Tidak wajar untuk kita merendahkan maruah ke dalam kesinisan dan mengisytiharkan bahawa tiada negara boleh konsisten sepenuhnya dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, Malaysia dan Australia mungkin tidak melihat rantau dan dunia dalam terma yang sama namun matlamat utama kedua-dua negara adalah sama.
Beliau menambah strategi spesifik mungkin berlainan tetapi kedua-dua negara masih boleh berusaha ke arah dasar yang selari untuk menggalakkan kerjasama dan integrasi serantau.
“Pada asasnya, perkongsian matlamat seharusnya untuk memupuk sebuah rantau yang kalis kepada peralihan kuasa sambil mengekalkan autonomi setiap negara tanpa mengira saiz.
“Kita mesti melabur dalam institusi yang membolehkan kita menyesuaikan diri untuk berubah secara aman tanpa menafikan mana-mana negara tempat mereka yang sah dalam masyarakat global,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim