China hargai pendirian PM berkait ‘fobia-China’
8 MAC : China menghargai pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ‘fobia-China’ oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, menurut Menteri di Kedutaan China di Malaysia, Zheng Xuefang.
Beliau berkata kenyataan Anwar itu mencerminkan hasrat negara-negara membangun dalam merealisasikan matlamat kemerdekaan dan pembangunan mereka.
“Kami sangat menghargai kenyataan Perdana Menteri Anwar baru-baru ini, yang mengecam ‘fobia-China’ dalam kalangan sekutu AS dan Barat selain mendukung persahabatan Malaysia-China
“Pembangunan China membuka peluang kepada dunia, dan bukan ancaman kepada sesiapa,” katanya dalam pertemuan dengan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai semasa kunjungannya ke Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) itu pada Rabu, lapor Bernama.
Xuefang berkata Malaysia adalah jiran mesra China yang bersandarkan diplomasi kejiranan China, sambil menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu.
Anwar dalam temu bual dengan Financial Times bulan lepas dan sekali lagi semasa lawatan rasminya ke Australia minggu ini menegaskan bahawa hubungan dengan China tidak boleh ditentukan oleh mana-mana negara lain.
“Kami bebas sepenuhnya”, katanya.
Perdana menteri juga mengecam sentimen ‘fobia China’ yang semakin meningkat dalam kalangan negara Barat.
Sementara itu, Xuefang berkata China akan bekerjasama rapat untuk menyokong Malaysia dalam memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ehwal ASEAN dan antarabangsa, dan mendorong hubungan ASEAN-China serta kerjasama Asia Timur ke tahap yang lebih tinggi.
Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan dan penyelaras ASEAN-China pada Julai ini.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dua hala Malaysia-China dan Tahun Persahabatan Malaysia-China.
Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik rasmi pada 31 Mei 1974.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim