8 MAC : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen sebuah syarikat pengendali pakej umrah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, berkuat kuasa 11 Mac ini, lapor Bernama.
MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pembatalan lesen itu selaras dengan perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Menurut MOTAC, syarikat berkenaan didapati melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
Bermula sekitar November tahun lalu, pihak polis menerima ratusan laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan syarikat itu.
Setakat ini, dua pengarah syarikat berkenaan yang juga sepasang suami isteri telah dihadapkan ke mahkamah berkaitan kes berkenaan.