8 MAC : Kerajaan menegaskan tiada campur tangan politik dalam urusan kelulusan pindaan Perlembagaan Bersatu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, setakat ini beliau masih belum menerima permohonan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
“Mungkin mereka telah menghantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), tetapi saya masih belum terima.
“Campur tangan politik? Sebab mereka pernah buat, jadi mereka fikir saya akan melakukan perkara sama.
“Mereka pernah campur tangan dalam RoS, jadi dia fikir Menteri KDN ini akan buat seperti mereka buat. Silap besar,” katanya.
Minggu lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa RoS segera meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia dikuatkuasakan serta-merta.
Beliau turut berharap supaya tiada sebarang campur tangan politik yang boleh mempengaruhi proses berkenaan menjadi perlahan.
Pada 2 Mac lalu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu meluluskan pindaan Perlembagaan berhubung pelucutan keahlian bagi wakil rakyatnya yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti atau musuh.
Pindaan itu membabitkan perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.