9 MAC : Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak mencabar kerajaan untuk mengosongkan tujuh kerusi wakil rakyat Bersatu yang menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebagai ‘pakar lompat’.
Tegas Anwar, keputusan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenang dimenangi Bersatu itu sepatutnya dibuat wakil rakyat terbabit.
Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin tidak boleh mencabar kerajaan atas tindakan ahlinya yang mengalih sokongan.
“Kepala parti lompat hendak cadang (pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu DUN), terpulang kepada ahli Parlimen itu, kenapa tanya saya?
“Dia (Muhyiddin) yang pakar pergi lompat dan ‘scheme of things‘, itu dia patut jawab mengapa orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Awal hari ini, Presiden Bersatu itu mencabar Kerajaan Perpaduan mengosongkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN selepas wakil rakyat Bersatu menyokong Kerajaan Perpaduan.
Muhyiddin menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kerusi berkenaan.
Enam Ahli Parlimen yang mengisytihar sokongan kepada Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sementara ADUN Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) yang terbaharu menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
*Foto : Facebook KDN