11 MAC : Semua kantin sekolah perlu beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ia penting bagi memberi pemahaman kepada pelajar bukan Islam berkait ibadah puasa dijalani rakan mereka yang beragama Islam.
Katanya, ia juga bagi mewujudkan rasa hormat menghormati dalam kalangan mereka.
“Kantin mesti dibuka. Proses pendidikan untuk memahamkan dan menghormati antara satu sama lain sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau sebuah sekolah di Puchong pada hari pertama persekolahan bagi sesi 2024/2025, hari ini.
Menurut Fadhlina, sikap saling menghormati itu perlu dipupuk melalui proses dua hala agar wujud persefahaman yang sihat dalam kalangan pelajar dan guru.
“Jadi saya ingat dalam proses itu guru-guru mempunyai pengalaman untuk menguruskan sebarang isu atau pun dari segi penghormatan itu diberikan oleh semua pihak,” katanya.
Terdahulu, Fadhlina meminta pengusaha kantin sekolah meneruskan operasi sepanjang bulan Ramadan walaupun sekolah berkenaan mempunyai kurang daripada 10 peratus pelajar bukan Islam.
Menurutnya, tidak semua kanak-kanak Islam diwajibkan berpuasa terutama pada usia awal dan pada masa menghormati orang bukan Islam pada bulan suci ini.