Kenyataan Media
Majlis Amanah Rakyat
11 MAC : Majlis Amanah Rakyat melalui Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) merekodkan pengambilan pelajar Tingkatan 1 dan 4 ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sesi 2024 khusus buat keluarga berpendapatan rendah B40 adalah melebihi 80% setakat ini.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebanyak 7,424 tawaran dikeluarkan kepada pelajar di seluruh negara.
“Lebih dari 6,000 tawaran telah diberikan kepada pelajar B40 untuk ditempatkan ke MRSM. Walaupun begitu, laporan perkembangan terkini tentang penerimaan tawaran oleh pelajar golongan tersebut adalah sebanyak 76%.
“Pengambilan kuota B40 bagi pelajar MRSM sesi 2024 menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada kali ini. Dasar kita menetapkan bahawa 60% kuota harus diisi oleh pelajar B40.
“Sejajar dengan hasrat itu, tahun ini kita berjaya menyediakan tawaran melebihi daripada peratusan asal sebagai usaha murni kita bagi mengutamakan mereka yang berpendapatan rendah mendapat kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang terbaik menerusi sistem pendidikan MRSM.
Perkara ini juga membuktikan bahawa MARA tidak pernah memberikan keutamaan kepada golongan kaya sahaja dan mengabaikan hak golongan berpendapatan rendah seperti mana khabar angin oleh mereka yang sengaja memberikan provokasi di luar terhadap MRSM.
“Saya sangat berpuas hati dengan ketelusan, kecekapan oleh pengurusan MARA atas komitmen mereka yang sering memberikan kerjasama terbaik dalam mencapai agenda pemerkasaan modal insan dalam bidang pendidikan Bumiputera.”
Selain itu, Asyraf mengingatkan keluarga pelajar yang mengalami kesukaran kewangan untuk tidak sewenang-wenangnya menolak tawaran keemasan yang diberikan.
Hal ini kerana MARA menyediakan Program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) bagi memberikan bantuan kewangan dan kelengkapan persekolahan kepada mereka yang datang daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.
Program BUDI ini adalah sebagai inisiatif keprihatinan MARA yang memfokuskan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk memastikan anak-anak MRSM mendapat kesamarataan dalam sistem pendidikan yang terbaik.
Asyraf hari ini mengadakan lawatan ke MRSM Kuala Kubu Bharu bagi menyaksikan momen-momen Hari Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali.
MRSM Kuala Kubu Bharu menerima 126 orang pelajar Tingkatan 1 bagi sesi 2024 yang hadir pada Hari Pendaftaran bersama dengan ahli keluarga dan penjaga mereka.
Pengerusi MARA turut mengambil kesempatan menyantuni pelajar yang hadir bersama dengan keluarga mereka sebagai tanda sokongan dan memberikan suntikan semangat untuk memulakan sesi persekolahan di MRSM Kuala Kubu Bharu.
Bahagian Komunikasi Korporat MARA