12 MAC : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru umat Islam tidak menjadikan Ramadan sebagai ‘the mother of food waste‘ atau bulan pembaziran.
Beliau berkata, pembaziran bukan saja dilarang dalam Islam malah bertentangan prinsip kelestarian alam.
“Marilah kita saling mengingatkan satu sama lain agar mengurangkan budaya pembaziran berlebihan sepanjang bulan puasa ini,” katanya dalam catatan di Facebook, semalam, lapor Bernama.
Beliau turut mengajak umat Islam menggandakan ibadah bagi meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah serta kecintaan sesama manusia.
“Sambutlah Ramadan ini sebagai peluang terbaik untuk terus bermuhasabah dan memperbaiki diri.
“Mudah-mudahan setiap amalan kita akan diterima oleh Allah dengan rahmat, kasih sayang, pengampunan dan keberkatan daripada-Nya. Jangan lupa untuk titipkan juga doa buat saudara-saudara kita di bumi Gaza dan semoga Allah mengangkat doa-doa kita untuk pembebasan rakyat Palestin kelak.”
Fadillah dalam pada itu mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam.
“Ramadan Al-Mubarak bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam, bulan terbaik untuk kita terus meningkatkan amal ibadah dan memperbanyakkan sedekah serta amalan kebajikan.”