13 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memudah cara proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara.
Perkara itu disampaikan ketika Anwar berucap pada majlis ramah mesra perdana menteri bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jerman.
“Agenda kita reformasi termasuk pilihan raya. Sekarang proses itu terlalu rumit. Penduduk Malaysia di luar negara termasuk di Singapura sudah cecar 500,000, bahkan mungkin lebih. Kita mesti mudahkan.
“Arahan saya kepada SPR, saya tidak mahu alasan, mudahkan proses pengundian. Banyakkan pusat mengundi. Jerman contohnya, MATRADE, MIDA dan Duta Besar (boleh bantu). Lebih banyak pusat mengundi, lebih cepat, efisien dan selamat (proses pilihan raya).
“Jaminan saya, lebih ramai rakyat Malaysia luar negara boleh penuhi tanggungjawab mengundi. Ini tidak sukar,” katanya, lapor Awani.
Mengulas soal pendaftaran sebagai pengundi, Anwar berkata ia bukan lagi isu besar memandangkan Malaysia sudah beralih kepada sistem pendaftaran automatik.
Beliau berkata demikian bagi menjawab perkara dibangkitkan Setiausaha Agung Global Bersih, Nirmala Devi Windgaetter mengenai usaha kerajaan bagi memastikan proses pilihan raya rakyat Malaysia di luar negara lebih mudah.
Antara isu yang dibangkitkan ialah berkenaan tempoh memulangkan kertas undi pos dan tempoh masa berkempen yang singkat.
Kata Nirmala, ini menyukarkan pengundi Malaysia luar negara untuk memenuhi tanggungjawab demokrasi mereka.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim