15 MAC : Pulau Pinang berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM71.9 bilion pada 2023, yang tertinggi di Malaysia, menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Beliau berkata pertumbuhan luar biasa tersebut didorong pelaburan langsung asing (FDI) yang menyumbang RM61.7 bilion atau 85.8% daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri itu dalam tempoh berkenaan.
“Angka tersebut secara tidak langsung menggariskan keyakinan teguh pelabur antarabangsa terhadap potensi negeri ini dan peluang menarik yang ditawarkan secara menyeluruh.
“Hasil dasar ekonomi negeri yang jelas, mesra pelabur dan kompetitif di peringkat serantau, Pulau Pinang berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan yang amat menggalakkan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis penghargaan syarikat yang terlibat dalam Pusat Inovasi Teknologi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) (NTIC) Centre of Excellence (CoE) di Pulau Pinang, hari ini.
Chow berkata menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), negeri ini berjaya memudah cara pelaburan RM13.67 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan pada tahun lepas.
Sementara itu, beliau yang juga exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi berkata NTIC yang dibangunkan oleh NCIA di Bayan Lepas dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
NTIC akan menjadi platform utama dalam menarik pelaburan berkaitan teknologi ke NCER khususnya di Pulau Pinang menerusi kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, syarikat multinasional serta ahli akademik, katanya.
Beliau berkata NTIC merupakan inisiatif ‘Kampus Tunggal’ yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan penyelidikan, reka bentuk, teknologi, inovasi dan pengkomersialan.
Menyentuh mengenai program CoE, NTIC Pulau Pinang, beliau berkata 12 penyedia CoE NTIC telah dilantik sejak pelancaran program tersebut pada Mei lepas dan mencatatkan pelaburan RM73.67 juta.
“Penyedia CoE yang dilantik hari ini memberi tumpuan kepada menyokong pembangunan PKS tempatan di bawah program Pengguna NTIC CoE, dan setakat ini, terdapat lapan syarikat PKS di negeri ini mendaftar untuk program berkaitan,” katanya.