16 MAC : UMNO tidak berhasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Demikian penegasan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
“Apabila mereka (PAS) berada dalam keadaan zon selesa, mereka akan mula menerajang, memukul dan menendang kawan-kawan (parti gabungan).
“Jadi biarlah ikhlas berpolitik walaupun ia berdasarkan kepada sistem demokrasi. Kalau kita sebagai orang Islam gunakanlah nilai-nilai Islam sebagai keutamaan, bukan menunggang Islam mencapai tujuan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui merasmikan Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau di Kelantan, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan MN dan Penyatuan Ummah runtuh angkara PAS bukannya UMNO.
“Jangan menanam tebu di tepi bibir. Jangan hanya bercakap sedap mulut tetapi bila perkara ini telah dijalankan dengan niat ikhlas…pemimpin yang mengetuai parti itu sendiri (PAS) menolaknya (MN) dan meninggalkan UMNO,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terbuka dalam syor ‘menghidupkan semula’ MN menerusi kerjasama politik antara parti berasaskan Melayu termasuk serpihannya, Amanah.