18 MAC : Vladimir Putin dilaporkan menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) terkini yang berlangsung tiga hari di Rusia, lapor AFP.
Data rasmi menunjukkan, lebih 80 peratus pusat mengundi sudah menyerahkan keputusan dan Putin memperoleh 87.2 peratus undi.
Keputusan itu sekali gus menunjukkan Presiden Rusia itu menjadi pemimpin Rusia yang paling lama berkhidmat dalam tempoh 200 tahun.
Pada sidang media di ibu pejabat kempennya di Moscow selepas pusat mengundi ditutup, Putin mengingatkan semua pihak, negara itu tidak akan gentar atau tergugat oleh sesiapa pun.
Putin yang juga bekas anggota agensi perisikan Russia (KGB) mula berkuasa sebagai Presiden Rusia pada 1999 dan kemenangan kali ini memberikannya satu lagi penggal selama enam tahun sekali gus mengatasi tempoh perkhidmatan bekas pemimpin, Josef Stalin.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda dan semua rakyat atas sokongan dan kepercayaan ini.
“Tidak kira siapa atau berapa banyak mereka mahu menggertak kita, tidak kira siapa atau berapa keras mereka mahu menindas kita, kehendak kita, kesedaran kita – tiada siapa yang pernah berjaya seperti ini (menang PRU) dalam sejarah.
“Tindakan pembangkang ini tidak berkesan sekarang dan tidak akan berkesan pada masa akan datang, tidak mungkin,” katanya.
Namun, pengkritik Putin mendakwa keputusan itu dicapai kerana kesemua seterunya sudah mati, dipenjarakan ataupun dibuang negara dan beliau pantas menghalang sesiapa saja yang mengkritik atau menentang pencerobohannya.