18 MAC : Pihak berkuasa sudah memulakan siasatan ke atas isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang bertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan ke pasaran.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata polis menerima 36 laporan daripada pelbagai pihak sejak perkara itu tular.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) terima 36 laporan daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Sunway, Selangor.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita sentiasa memantau supaya tidak berlaku lagi perkara (penjualan stoking) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya, meski KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) sudah membuat permohonan maaf Sabtu lalu, siasatan tetap diteruskan bagi menyiasat dan mendakwa terutama pengedar dan penjual produk.
“Tindakan penguatkuasaan juga diambil dengan memeriksa premis KK Mart di seluruh negara dan mendapati pihak KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan dari semua cawangannya,” katanya.
Sabtu lalu, pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai menjelaskan pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerjanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis mempunyai stoking itu dan 14 pasang tertera kalimah Allah.