18 MAC : UMNO bakal kembali menjadi pilihan rakyat Kelantan pada masa hadapan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan keyakinan itu berpandukan kepada komitmen dan semangat yang ditunjukkan para kepimpinan UMNO di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Saya amat berpuas hati dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh kepimpinan UMNO Kelantan untuk memastikan parti ini terus relevan dalam memperjuangkan masa hadapan orang Melayu di negeri ini.
“Walaupun tidak berada dalam tampuk kepimpinan negeri, saya yakin satu hari nanti UMNO akan kembali menjadi pilihan ‘ore Kelate’ bagi merealisasikan perubahan dan pembangunan yang lebih baik dan pesat serta kemakmuran yang menyeluruh kepada seluruh rakyat di negeri ini. Insya-ALLAH,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Ahad.
Pada kenyataan sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sempat mendoakan yang terbaik untuk UMNO Kelantan.