19 MAC : Sebahagian rakyat Indonesia membantah keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Indonesia (Pilpres), lapor Agensi.
Susulan itu, pasukan polis republik itu dikerahkan ke Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) demi memastikan bantahan yang berlangsung tidak bertukar ganas.
Penunjuk perasaan berkumpul di KPU bagi menggesa suruhanjaya itu menghalang calon Presiden, Prabowo Subianto daripada menggalas tanggungjawab sebagai ketua negara yang seterusnya.
Mereka mendakwa berlaku penipuan besar-besaran berlaku.
Keputusan rasmi Pilihan Raya Presiden dijangka bakal diumum Khamis ini.
Pengiraan undi pantas yang dijalankan kumpulan kaji selidik bebas dan badan pemikir menunjukkan Prabowo mempunyai kelebihan besar ke atas lawannya, bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Prabowo mendapat kira-kira 58 peratus undi semasa pilihan raya pada 14 Februari lalu manakala Anies memperoleh kira-kira 25 peratus undi dan Ganjar Pranowo hanya menerima kira-kira 17 peratus undian.
Menurut laporan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo didakwa campur tangan dalam pilihan raya itu susulan Prabowo berganding dengan anak lelakinya, Gibran Rakabuming Raka.