19 MAC : Sejumlah RM48.06 bilion daripada keseluruhan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sudah dibayar setakat ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata baki hutang 1MDB perlu dibayar bagi sukuk dengan nilai prinsipal adalah RM5 bilion yang akan matang pada 2039.
“Di bawah perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 2020, kerajaan sudah menerima bayaran daripada Goldman Sachs sebanyak AS$2.5 bilion (RM11.83 bilion) dengan jaminan pengembalian aset AS$1.4 bilion (RM6.63 bilion) sehingga 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, Goldman Sachs memfailkan permohonan timbang tara di Mahkamah London berkait pertikaian jaminan itu.
“Kerajaan dengan pembabitan pelbagai agensi dan 1MDB giat meneruskan usaha mendapatkan aset semula 1MDB di seluruh dunia.
“Kerajaan yakin usaha ini akan membawa hasil untuk meningkatkan kadar aset ‘recovery’ dengan lebih elok,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata subsidi bersasar bagi RON95 hanya akan diperhalusi selepas kerajaan menyelesaikan pelaksanaan ke atas diesel.
Katanya ketika ini penhyasaran subsidi dibuat terhadap diesel susulan terlalu banyak ketirisan dikesan.
“Untuk subsidi RON 95 akan diperhalusi selepas kita selesai diesel nanti,” katanya.
Sementara menyentuh tentang skim persaraan baharu penjawat awam, Amir Hamzah berkata, kerajaan akan memastikan kaedah baharu yang dirangka itu akan kekal adil serta memenuhi keperluan.
“Bagi 2023, komitmen pencen penjawat awam adalah RM32.6 bilion iaitu memerlukan tambahan RM2.1 bilion berbanding unjuran asal Belanjawan 2023 sebanyak RM30.5 bilion.
“Untuk itu, kerajaan perlu menyemak dan meneliti kaedah terbaik. Kerajaan masih dalam proses memuktamadkan cadangan pembaharuan pencen, yang mana pembaharuan pencen hanya akan dilaksana kepada penjawat awam baharu,” katanya.