19 MAC : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Bertitah kepada Royal Press Office (RPO), baginda mengingatkan soal peringatan dititahkan pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu agar semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu itu berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
“Kalimah ALLAH itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.
“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah baginda pada Selasa.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah baginda.
*Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar