20 MAC : Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memutuskan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perlu membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.
Menurutnya, mesyuarat itu juga membincangkan secara terperinci berkait kos sara hidup rakyat.
“Mesyuarat telah membincangkan dengan terperinci beberapa perkara terkait kos sara hidup rakyat khususnya berkaitan isu harga dan ketersediaan bekalan beras dalam negara.
“Beberapa mekanisme jangka pendek telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Mesyuarat hari ini juga telah bersetuju supaya DOSM membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat sehingga ke peringkat daerah, sekali gus membantu Kerajaan merangka pelaksanaan program yang lebih tepat dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian melalu hantaran di Facebook, malam tadi.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan pada mesyuarat itu perkara penguatkuasaan dititikberatkan bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan dalam perkara peluasan skop cukai.
“Saya turut tekankan keperluan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas peluasan skop dan perubahan kadar Cukai Perkhidmatan yang dilaksanakan ke atas beberapa perkhidmatan terpilih sahaja,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) sudah melancarkan pemeriksaan khas di bawah Ops Kesan bermula 1 Mac lalu bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim