20 MAC : Semua pihak diminta agar tidak berlebihan dalam keluar kenyataan isu berkait penjualan stoking yang menimbulkan kemarahan umat Islam.
Perkara itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau turut meminta semua pihak agar tidak lagi membangkitkan perkara-perkara sensitif berkait isu tersebut.
“Dalam keadaan ini, saya fikir jangan lagi bangkitkan perkara-perkara yang sensitif begini. Jangan…jangan berlebihan dalam perkara ini. Tambahan pula mereka (pihak pengurusan kedai serbaneka) telah membuat permohonan maaf.
“Kita menganggap mereka tidak mengetahui dan mereka tiada tujuan pun. Malah siasatan ketika lawatan dijalankan mendapati, bukan kilang itu yang melakukan, ia bahan import dari China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Amin, Simpang Tiga di Nibong Tebal, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway.
KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘ALLAH’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Dilaporkan Pemuda UMNO menggesa langkah boikot ke atas kedai serbaneka itu.