20 MAC : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan subsidi terhadap tepung gandum ditamatkan mulai tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia susulan pengilang tidak mampu untuk mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 per kilogram.
“Kerajaan telah menamatkan subsidi gula mulai 26 Oktober 2013. Sejak daripada itu, gula putih bertapis hanya dikawal melalui pewartaan harga kawalan sahaja yang dinikmati oleh seluruh penduduk Malaysia termasuk warga asing.
“Manakala, subsidi tepung gandum kegunaan am telah ditamatkan mulai 2024 berikutan pengilang tidak mampu untuk mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta KPDN menjelaskan sehingga bilakah barangan bersubsidi seperti gula, tepung, minyak petrol dan sebagainya yang diberikan oleh pihak Kerajaan dapat dinikmati oleh warga asing.
Kata Armizan, bagi mengelak warga asing menikmati subsidi untuk rakyat Malaysia, kerajaan telah menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing di semua stesen minyak seluruh negara.
Tegasnya, kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97.
“Manakala untuk diesel bersubsidi, kenderaan asing hanya boleh mengisi tidak lebih daripada 20 liter bagi stesen minyak dalam jarak 50 kilometer dari sempadan Singapura dan Thailand serta 30 kilometer dari jarak sempadan Indonesia dan Brunei,” katanya.
Tambah Armizan, kerajaan sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi yang hanya akan memanfaatkan kumpulan sasar yang layak termasuk bagi diesel dan minyak masak.