21 MAC : Kerajaan menjamin hak kerakyatan bayi dan kanak-kanak yang dibuang akan terpelihara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada istilah dinafikan hak kepada mereka.
Jelasnya, prinsip kerakyatan melibatkan anak yang dilahirkan adalah dari perkahwinan sah dan didaftarkan serta ibu atau bapa merupakan warganegara.
Maka, kanak-kanak dibuang tergolong dalam dua andaian iaitu tempat lahir yang merujuk kepada tempat dijumpai dan bayi itu dilahirkan oleh ibu bermastautin.
“Bila kita buat andaian begitu, maka bayi tersebut boleh dapat warganegara secara kuat-kuasa undang-undang. Hak anak-anak mesti dijamin…dijaga, hentikan istilah dinafikan hak untuk mendapat warganegara.
“Sekarang kalau tak dapat dengan cara Seksyen 19B (Bahagian III Jadual Kedua) (Perlembagaan), kita proses di bawah 15A. Dia tetap dapat warganegara, tiada istilah dinafikan.
“Janji dimohon dan permohonannya lengkap. Hakikatnya adalah kalau tak diluluskan di bawah kuat kuasa undang-undang, ia tetap diproses dan dibuat keputusan di bawah perkara 15A,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berhubung mekanisme bagi membolehkan bayi atau kanak-kanak terbiar diberikan kerakyatan secara automatik.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan kini dalam proses sesi libat untuk mendapatkan formula terbaik dalam hal membabitkan warganegara.
“Bila sampai masa, kita akan sama-sama mengambil bahagian dalam isu warganegara,” katanya.