21 MAC : Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion setakat Mac 2024, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ia hasil kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara ke Australia, Jerman dan Perancis.
Menurutnya, sambutan yang diberikan oleh negara-negara berkenaan amat luar biasa dan ia adalah permulaan baharu bagi Malaysia.
“Ini (hasil) persiapan awal dilakukan oleh rakan-rakan kita di Kementerian Kewangan; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Luar serta agensi kerajaan lain, termasuklah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.
“Umpamanya cip komputer. Kita sudah lihat ia mampu diiktiraf sebagai tarikan pelaburan pertama di Asia dan ini bukan perkara yang mudah,” katanya pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, hari ini, lapor Bernama.
Menurut perdana menteri, ia juga hasil usaha kerajaan dalam menstabilkan politik dan mendapat kerjasama daripada penjawat awam, selain kerana matlamat dan dasar negara yang jelas.
“Kejelasan dalam dasar ekonomi kita (penting), yang akan membantu dan memberikan harapan baharu kepada kita,” katanya menambah Jerman mempunyai ekonomi yang kukuh dan ekonomi ketiga terbesar dunia.
“Sambutan yang diberikan kepada kita sebagai sebuah negara kecil amat membanggakan,” katanya.
Dalam laporan sebelum ini, Malaysia berjaya mencapai potensi pelaburan baharu bernilai RM45.4 bilion hasil lawatan Anwar ke Jerman, baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau menekankan masih terdapat ruang untuk diperbaiki termasuklah dari segi kelulusan projek tidak dilewatkan.
“Kita juga bersyukur kerana majoriti penjawat awam masih mempunyai integriti dan mempunyai semangat untuk memperbaiki (mutu kerja).
“Kita perlu mengekalkan usaha sedemikian dan jika kita dapat meningkatkannya, saya fikir dalam tempoh dua atau tiga tahun, wajah Malaysia akan berubah,” kata beliau.
Mengenai angka pertumbuhan dan unjuran untuk tahun depan, beliau berkata, laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam adalah positif dan meyakinkan.
“Asas ekonomi Malaysia terus kukuh dan tinjauan ekonomi bagi 2024 adalah lebih baik berbanding 2023. Kita dapat capai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 sebanyak 3.7 peratus walaupun berdepan pelbagai asakan dan kemeruapan ekonomi global.
“Bagi tahun ini, ekonomi kita dijangka bertambah kukuh dengan unjuran pertumbuhan antara empat dan lima peratus,” kata beliau.
Anwar berkata, antara faktor yang menyokong prestasi ekonomi lebih baik pada tahun ini termasuk kadar pengangguran yang turun kepada paras 3.3 peratus pada Januari 2024, iaitu kembali kepada paras prapandemik (2022: 3.7 peratus).
Katanya, kadar inflasi rendah apabila turun kepada 1.6 peratus pada suku keempat 2023 berbanding dua peratus pada suku ketiga tahun lalu.
Beliau menjelaskan, prestasi eksport turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada Januari lalu dengan peningkatan 8.7 peratus selepas menguncup 10 bulan sebelumnya (Mac hingga Disember 2023).
Selain angka-angka positif makroekonomi, prospek pelaburan negara juga berada pada tahap yang amat baik.
“Pada 2023, kita meraih pelaburan diluluskan berjumlah RM329.5 bilion, iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah negara,” kata beliau.