21 MAC : Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden (Pilpres) 2024.
Berdasarkan kiraan undi di 38 wilayah Indonesia dan 128 pusat pengundian di luar negara, Prabowo-Gibran mendapat 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi, menurut pengumuman KPU pada Rabu malam, lapor Bernama.
Pesaing mereka, pasangan Anies Baswedan–Muhaimin Iskandar memperolehi 24.9 peratus atau 40,971,906 undi manakala Ganjar Pranowo-Mahfud MD mendapat 16.5 peratus atau 27,040,878 undi.
Hasil rumusan KPU menunjukkan Prabowo-Gibran menang di 36 wilayah dan dua lagi wilayah dimenangi Anies-Muhaimin.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Ketua KPU Hasyim Asy’ari seperti yang disiarkan melalui platform rasmi sosial medianya.
‘Pesta Demokrasi’ di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia pada 14 Februari dibuat untuk menentukan pengganti Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.