Prabowo Presiden Indonesia baharu, Anwar pemimpin pertama ucap tahniah
21 MAC : Malaysia menjadi negara pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah itu selepas kemenangan Prabowo itu disahkan.
“Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah di atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia (Pemilu) yang baru selesai.
“Saya dimaklumkan saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi Pemilu sebentar tadi.
“Ini cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut Anwar, beliau yakin Prabowo dapat menggalas mandat diberikan dengan cemerlang.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau dan Prabowo memasang tekad untuk memperkukuh hubungan dua hala.
“Selamat maju jaya dan saya menyatakan keyakinan bahawa Bapak Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan yang berterusan dan kemakmuran negara Indonesia.
“Kedua-dua kami bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala yang mencakup pelbagai aspek sebagai negara jiran dan berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutamanya dalam ruang lingkup ASEAN,” katanya.
Prabowo diumum sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia sekali gus menewaskan dua pesaingnya yang kini berikrar untuk memfailkan aduan undang-undang mengenai undian itu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU), Hasyim Asy’ari berkata Prabowo dan gandingannya selaku naib presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Angka itu cukup untuk memperoleh keputusan majoriti dalam pusingan pertama.
Dua pencabarnya iaitu Anies Baswedan pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus.