21 MAC : Cara penguatkuasaan dan pemantauan perlu diubah supaya pelaksanaannya dapat memastikan beras putih tempatan (BPT) ada dalam pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menegaskan perkara itu dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini.
Malah menurut Anwar, beliau mendengar sendiri luahan peniaga berkait masalah bekalan BPT sebelum ini yang menuntut agar penguatkuasaan dan pemantauan perlu diubah.
“Saya hari itu, ada Program Jualan RAHMAH di Permatang Pauh. Saya tanya kakak (peniaga), kenapa jual beras RM30 beras campur, (sedangkan) ada RM26 (beras BPT).
“Dia kata memang ada, tapi tiada (bekalan) di kedai…Mungkin penguatkuasaan dan pemantauan, menuntut melakukan tinjauan dan perubahan,” katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh ada kira-kira 150,000 tan BPT dalam pasaran, namun ia tidak mencukupi.
Sebab itu, katanya, Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menumpukan pengedaran dan penjualan di kawasan pedalaman untuk rakyat berpendapatan rendah membeli BPT.
“Maknanya, tindakan itu mesti bukan sekadar laporan. Laporannya, kalau nak beli beras murah ada (harga) RM26, beras import memang sudah turun RM3.
“Itu dasar, tapi pelaksanaan tidak dalam pasaran. Sekarang (BPT) dijual di FAMA, LPP supaya tiada kos sewa dan kos pengangkutan.
“Jadi, bila kita tegaskan dalam mesyuarat, kita tahu berapa pengeluaran dan keputusan kerajaan semua keperluan tentera, polis, asrama kontrak pusat kerajaan, sekarang beli beras import supaya beras tempatan masih dalam edaran,” katanya.