22 MAC : Singapura dinobat sebagai negara paling gembira di Asia bagi tahun 2023, tahun kedua berturut-turut.
Ia diikuti Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Thailand, Malaysia, China dan Mongolia.
Singapura menduduki ranking ke-30 bagi negara/wilayah paling gembira di dunia untuk 2021-2023, menurut Laporan Kebahagiaan Dunia 2024.
Denmark dan Iceland di belakang Finland bagi kategori itu daripada 143 negara dan wilayah. Tiga tempat terakhir ialah Lesotho, Lubnan dan Afghanistan.
Kedudukan dalam laporan setiap tahun adalah berdasarkan skor purata daripada tiga tahun sebelumnya.
Laporan tahunan yang dikeluarkan pada 20 Mac itu diperkenalkan pada 2012 bagi menyokong matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Data itu diperoleh daripada syarikat penyelidikan pasaran AS Gallup dan organisasi seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Menurut laporan itu terdapat enam faktor utama yang dianalisis – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, jangka hayat yang sihat, sokongan sosial, kebebasan, kemurahan hati dan persepsi rasuah.
Walau bagaimanapun, terdapat juga skor yang hanya berdasarkan penilaian individu terhadap kehidupan mereka sendiri, berdasarkan tinjauan pendapat yang meminta mereka menilai betapa gembiranya mereka dari satu hingga lapan, dengan lapan adalah markah maksimum.
Amerika Syarikat terkeluar daripada 20 teratas buat kali pertama dalam sejarah 12 tahun laporan itu.