23 MAC : Puteri Wales, Kate Middleton mengesahkan dirinya menghidap kanser dan sedang menjalani kemoterapi pencegahan.
Namun isteri kepada pewaris takhta Britain, Putera William itu tidak mendedahkan jenis kanser dihidapinya.
Kata Kate, kanser itu dikesan susulan pembedahan perut yang dijalaninya.
Kate memaklumkan berita itu melalui satu rakaman video.
Sebelum ini Raja Charles III turut dikhabarkan sedang menjalani rawatan untuk kanser.
Kate, 42 menghabiskan masa dua minggu di hospital pada Januari lalu selepas menjalani pembedahan di perut, namun ia bukan untuk rawatan kanser pada ketika itu.
“Justeru, pasukan perubatan saya menasihatkan supaya saya menjalani kemoterapi pencegahan dan saya kini berada pada peringkat awal rawatan itu.
“Ini sudah tentu mengejutkan. William dan saya sudah melakukan segala yang kami mampu untuk menerima hakikat ini serta menguruskan perkara ini secara peribadi demi keluarga kami,” katanya, lapor Agensi.
Kate merupakan rakyat biasa pertama yang berkahwin dengan seorang putera raja yang bakal mewarisi takhta dalam tempoh lebih 350 tahun.
Beliau berkahwin dengan William pada 2011 dan sejak itu telah menjadi salah seorang kerabat Diraja paling popular.