23 MAC : Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menggesa kepimpinan parti menggantung keahlian serta merta terhadap seorang pemimpin bahagian yang berdepan tuduhan jenayah seksual.
Akmal berkata pihaknya akan membawa usul itu dalam mesyuarat pengurusan parti akan datang kerana tidak mahu berkompromi dengan mana-mana tindakan jenayah.
“Saya dah bawa perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan kita dah setuju untuk tindakan disiplin dan akan dibawa dalam mesyuarat pengurusan. Jadi ini bergantung kepada keputusan mesyuarat pengurusan.
“Kita minta tindakan yang keras, mungkin kita gantung dulu sementara tunggu pembelaan dan pendakwaan. Kita tak kompromi isu jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di ibu negara
Baru-baru ini, seorang pemimpin Pemuda UMNO bahagian di Johor dilaporkan disiasat polis atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap beberapa remaja lelaki.
Pemimpin itu dilapor bakal didakwa di mahkamah.
Media melaporkan sekurang-kurangnya enam remaja lelaki dikatakan menjadi mangsa dalam kes itu.