23 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa, keluarga mereka dan rakyat Rusia susulan serangan pengganas di sebuah dewan konsert di Moscow pada lewat hari Jumaat.
Perdana menteri menerusi hantaran di laman Facebook berkata, serangan ganas yang mengerikan dan kejam seperti itu tidak mempunyai tempat dalam dunia yang bertamadun.
“Hakikat bahawa serangan itu berlaku di sebuah dewan konsert utama, yang merupakan pusat budaya, adalah seolah-olah seperti ia telah dirancang dengan begitu rapi untuk mengakibatkan kemusnahan maksimum.
“Selain itu, sebagai seorang Muslim, saya berasa terpanggil untuk menegaskan bahawa kekejaman yang amat keji ini tidak sesekali boleh dikatakan sebagai mewakili Islam atau mana-mana agama.
“Justeru itu, kita mesti berdiri teguh menentang perbuatan yang membenarkan kejahatan dan kejelikan sedemikian menenggelamkan keamanan serta ajaran mulia agama-agama besar di dunia,” kata beliau, lapor Bernama.
Susulan itu, Anwar berkata Malaysia sedia menjalin kerjasama dengan semua rakan kongsinya termasuk Persekutuan Rusia untuk bersama-sama menentang keganasan.
Terdahulu, dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 60 orang maut manakala 145 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan rambang di sebuah dewan konsert di Dewan Bandaraya Crocus.
Insiden itu berlaku semasa konsert kumpulan muzik ‘Picnic’.