23 MAC : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Syarikat Alagappa Flour Mills Sdn Bhd.
Menurut Bahagian Pengurusan Halal Jakim, ia susulan ketidakpatuhan syarikat tersebut terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
Namun jabatan itu memaklumkan status halal produk yang dikilangkan oleh syarikat sebelum 12 Mac 2024 tidak terjejas.
“Suka untuk diingatkan bahawa sesuatu produk yang tidak dipersijilkan halal atau tidak mempunyai SPHM bukan membawa maksud produk tersebut haram.
“Sekiranya satu-satu produk tersebut menerima SPHM maka ia pastinya telah memenuhi keperluan digariskan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan standard halal serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan amalan terbaik perlu dipraktikkan secara berterusan dalam membuat pemilihan produk atau perkhidmatan yang dipersjilkan halal kerana produk dan perkhidmatan dengan SPHM pasti halal, selamat serta lebih baik.
Sementara itu, Syarikat Alagappa Flour Mills menjelaskan perkara itu menerusi satu kenyataan di Facebook.
Syarikat itu berkata hal tersebut tiada sebarang kaitan dengan penggunaan mana-mana bahan mentah atau ramuan yang tercemar dengan bahan haram mahupun isu kebersihan.
“Pada peringkat awalnya, syarikat hanya dikenakan tindakan penggantungan sijil halal sahaja. Hal ini disebabkan oleh beberapa kesalahan teknikal yang tidak kritikal. Pihak syarikat diberi masa untuk melakukan penambahbaikan terhadap ketidakakuran tersebut.
“Bagaimanapun, disebabkan beberapa kekangan berkenaan tenaga kerja menyebabkan penambahbaikan dan penutupan laporan ketidakakuran tersebut tidak dapat ditutup dengan sempurna pada masa yang telah diperuntukkan sehingga menyebabkan sijil halal kami ditarik balik,” jelas syarikat itu.
Menurut Alagappa Flour Mills juga, pihak syarikat sudah membuat permohonan semula untuk mendapatkan pensijilan halal.
“Sekiranya tiada halangan, syarikat kami akan melalui proses audit semula selewat-lewatnya pada bulan Mac 2024 ini,” katanya.