25 MAC : Kerajaan menjamin permohonan kewarganegaraan hanya akan mengambil masa setahun untuk diproses setelah pindaan Perlembagaan diluluskan di Parlimen kelak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mana-mana permohonan yang ditolak akan disertakan dengan alasan penolakan.
“Apabila pindaan ini lulus permohonan akan diberitahu keputusannya dalam tempoh setahun. Ini komitmen kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian dan Media di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, pindaan undang-undang berkait kewarganegaraan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Beberapa perkara disyorkan kerajaan termasuk dua pindaan yang memberi hak sama rata kepada ibu warga Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara.
Pindaan itu merujuk kepada Perkara 14(1)(b), Seksyen 1(b) dan 1(c) Bahagian II Jadual Kedua.
Pada masa ini, seksyen tersebut hanya membenarkan kerakyatan automatik kepada anak-anak yang dilahirkan selepas 16 September 1963 (Hari Malaysia) di luar negara jika bapa mereka adalah warganegara Malaysia dan bukan jika ibunya sahaja adalah warganegara Malaysia.
Dalam pada itu, Saifuddin meminta agar beliau tidak disamakan dengan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung tempoh untuk menyelesaikan permohonan kewarganegaraan itu dalam setahun.
“Jangan samakan saya dengan Hishammuddin.
“Kita nak elakkan mereka (pemohon) menunggu sehingga lima tahun kemudian diberitahu dukacita permohonan tuan gagal. Ini tidak boleh berulang lagi,” katanya.