25 MAC : KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan pembekalnya bakal didakwa di Mahkamah Shah Alam esok susulan kes penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Laporan FMT menyebut lima pengarah rangkaian kedai serbaneka dan pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd akan dituduh.
Pertuduhan mengikut Seksyen 109 dan 298 Kanun Keseksaan (KK) kerana kerana perbuatan melukakan perasaan agama seseorang dan bersubahat.
Polis memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan memfailkan pertuduhan jam 9 pagi esok.
Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Pada 16 Mac, pengurusan KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut murka dan menzahirkan perasaan dukacita atas isu tersebut.
Baginda bertitah tindakan sekeras-kerasnya perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu itu.