26 MAC : Format baharu pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen akan dikuat kuasa dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata format sedia ada perlu ditambah baik.
“Format pengisytiharan harta sedia ada hendaklah ditambahbaik agar maklumat yang diberikan tepat dan telus sebelum pengisytiharan harta dilaksanakan semula.
“Susulan daripada keputusan tersebut, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023 bersetuju supaya format pengisytiharan harta baharu yang lebih komprehensif disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin susulan menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung pengisytiharan harta Perdana Menteri dan Menteri Kabinet yang masih belum dilaksanakan.
Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) telah bersetuju untuk cadangan penambahbaikan format pengisytiharan harta.
Pada 6 Julai tahun lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri ke-17 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju agar semua anggota pentadbiran mengisytiharkan harta.