26 MAC : Semua pihak diminta agar tidak memanjangkan isu berhubung stoking tertera kalimah Allah yang tular dijual di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu sudah disiasat oleh pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Dalam soal perbezaan pendapat, timbul permusuhan, tak perlu saudara-saudara…kalau kes stoking, saya sudah beritahu supaya siasat dan kalau betul bersalah maka tahan, dakwa dan kita ‘tutup buku’, maju terus.
“Janganlah sampai berminggu-minggu semua hendak jadi pahlawan…kerja tak jalan, perbicaraan soal digital tiada, negara tidak maju (sebab) asyik bergaduh berminggu-minggu mengenai satu tajuk iaitu stoking. Habis (isu) stoking…kantin.
“Bukan maksud saya hendak remehkan (isu stoking) kerana tidak boleh sama sekali sesiapa menghina agama, apatah lagi Islam sebagai agama Persekutuan.
“Dan kalau ini (hina agama) berlaku saya sudah beritahu (supaya) tangkap, dakwa dan hakim akan memutuskannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2024 di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh, Meru, malam tadi.
Namun tegasnya, negara tidak perlu diheret hingga semua pihak mahu menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman termasuk melancarkan boikot.
“Tetapi negara tidak boleh diheret, jangan disalahkan semua orang dengan dipulaukan (boikot) semua kedai.
“Yang siasat itu polis, yang akan mendakwa itu Jabatan Peguam Negara dan yang akan menghukum itu mahkamah. Jangan kita jadi penyiasat, kita jadi pendakwa dan kita pula jadi penghukum,” katanya.
Menurutnya lagi, rakyat negara ini begitu mudah menjatuh hukum melalui apa yang ditonton di media-media sosial sahaja.
“Masalah di negara kita adalah bila baca atau lihat dan dengar dalam TikTok, maka terus menghukum. Kita ini pendakwah, bukan qadi (hakim) yang nak hukum.
“Janganlah pula baru belajar Islam atau masuk dalam parti atau gerakan persatuan tiga minggu terus orang ini hendak dikafir dan disesatkan kerana tidak islamik.
“Dunia sedang bersaing sengit untuk meningkatkan penguasaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), digital…tenaga, dan kita masih bergelut dalam soal-soal perbezaan pendapat…timbul permusuhan,” katanya.
Semalam, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan pembekalnya dilaporkN bakal didakwa di Mahkamah Shah Alam hari ini susulan kes penjualan stoking itu.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim