26 MAC : Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melukakan perasaan umat Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah.
Datuk Seri Dr KK Chai, 57 dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, 53 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir, pagi ini.
Mengikut pertuduhan, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd berniat dengan sengaja melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan yang dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kesalahan didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.
Sementara itu kawalan keselamatan di sekitar Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini diperketat susulan kes pendakwaan ini.
Anggota polis berkawal di hadapan pintu masuk mahkamah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.