27 MAC : Pendaftaran dan pengemaskinian sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak melibatkan sebarang kos bayaran.
Perkara itu diingatkan Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar berhati-hati jika terdapat pihak menawarkan perkhidmatan berbayar bagi tujuan tersebut.
Katanya, pendaftaran dan pengemaskinian PADU boleh dilakukan menerusi laman sesawang padu.gov.my secara percuma dan tiada bayaran dikenakan.
“Pendaftaran dan pengemaskinian PADU adalah percuma. Tiada sebarang bayaran dikenakan.
“Sekiranya ada pihak yang menawarkan servis berbayar untuk mendaftar PADU, mohon semua untuk berhati-hati.
“Daftar PADU secara percuma di padu.gov.my,” kata kementerian itu.
Katanya lagi, orang ramai boleh mengunjungi pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di setiap negeri sekiranya memerlukan bantuan berkaitan.
“Maklumat tentang DOSM negeri boleh didapati di https://www.dosm.gov.my/portal-main/directory/
“Cepat daftar dan kemas kini PADU sebelum 31 Mac 2024,” katanya
PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.
PADU berperanan untuk memastikan setiap warga negara yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat.
PADU mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas di Malaysia.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh PADU setakat jam 11.59 malam Selasa, seramai 8.45 juta penduduk telah berdaftar menerusi sistem berkenaan.