27 MAC : Sebuah jambatan di Baltimore runtuh akibat dilanggar sebuah kapal kargo, semalam.
Ia melibatkan kapal kargo Dali yang berukuran 290 meter.
Memetik laporan Al Jazeera, enam masih hilang dalam kejadian itu manakala dua orang berjaya diselamatkan.
Al Jazeera yang memetik sumber pihak berkuasa melaporkan enam mangsa yang hilang itu merupakan pekerja pembinaan.
Namun pihak berkuasa menganggap mangsa yang belum ditemui berkemungkinan sudah meninggal dunia.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa juga sukar susulan pasukan penyelamat perlu mengendalikan serpihan struktur jambatan yang roboh.
“Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya enam orang daripada kru pembinaan masih hilang dan dianggap mati,” kata laporan tersebut.
Sementara, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengesahkan tiada bukti menunjukkan kejadian itu disengajakan atau dilakukan dengan niat.
Katanya, ia berdasarkan maklumat diterima yang mencadangkan tidak ada bukti mensabitkan situasi itu.
Setiausaha Pengangkutan Maryland, Paul Wiedefeld mengesahkan ketika pelanggaran berlaku, kapal berkenaan dikendalikan seorang kapten dan bukannya anak kapal.
Menurut pihak berkuasa, kapal kargo itu membawa dua kapten dan 22 anak kapal namun semua dilaporkan selamat tanpa kecederaan.
Kapal kargo Dali itu disewakan kepada Maersk, syarikat perkapalan terkemuka yang dalam perjalanan dari Baltimore ke Colombo, Sri Lanka.