27 MAC : Polis menahan seorang lelaki warga emas yang dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Pemilik bengkel membaiki kereta di Bukit Duyong, Melaka itu didakwa menghina dan mengugut untuk menembak mati Exco Melaka itu susulan kelantangannya dalam isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pesara kerajaan berusia 62 tahun jam 10.21 pagi tadi.
“Pada 20 Mac lalu kira-kira jam 3 petang ketika pengadu berada di sebuah bengkel kereta Bukit Duyong, seorang lelaki yang juga pemilik bengkel itu dikatakan tidak berpuas hati dengan Dr Muhamad Akmal dalam isu KK Mart.
“Suspek didakwa memberitahu ‘Ketua Pemuda UMNO banyak (cakap) lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak kasi mati’.
“Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki terbabit. Tidak berpuas hati dengan ugutan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Kandang pagi tadi selain bimbang keselamatan Dr Muhamad Akmal,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Suspek berusia 68 tahun itu ditahan di kawasan Kandang kira-kira jam 4 petang pada hari sama laporan diterima.
“Pegawai Penyiasat sedang mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat awal, suspek mengakui memberitahu pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO mengenai isu KK Mart.
“Bagaimanapun suspek yang mempunyai masalah kesihatan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.