28 MAC : Kerajaan didesak melucutkan kewarganegaraan pengguna Facebook N Ganesparan yang menghina Islam, Sultan Selangor dan polis.
Ketua Penerangan MIC, T Rajagopalu berkata tindakan dan percakapan individu itu jelas tidak lagi setia kepada negara seperti termaktub dalam Perlembagaan negara.
Katanya, Ganesparan mengancam perpaduan dan keharmonian negara yang boleh menyebabkan kegusaran awam serta membangkitkan sensitiviti agama yang boleh menyebabkan pergolakan.
“MIC menggesa tindakan segera diambil oleh kerajaan supaya anasir tidak setia kepada negara sebegini dibendung dari terus mengancam dan mencemari keharmonian rakyat serta negara.
“Kewarganegaraan Ganesparan harus dilucutkan kerana individu itu tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau percakapannya seperti termaktub dalam perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 23 Mac lalu, satu klip video yang dimuat naik di media sosial tular dengan seorang lelaki mendakwa polis pantas mengambil tindakan terhadap rakyat berbangsa Cina yang menghina Islam, namun tindakan sama tidak diambil terhadap beberapa individu lain yang didakwanya menghina agama bukan Islam.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan terhadap Ganesparan dibuat mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kata Shuhaily, video itu dirakam di luar negara memandangkan lelaki terbabit telah meninggalkan negara sejak 2018 dan kini dipercayai berada di sebuah negara di Eropah.
Shuhaily berkata ini bukan kali pertama tindakan individu itu melibatkan isu sensitif seperti institusi beraja, agama dan politik, di mana 22 kes telah dibuka dari 2018 hingga kelmarin.