28 MAC : Tentera zionis terus menyerang sekitar kawasan hospital di tengah-tengah perbincangan gencatan senjata berjalan, lapor AFP.
Rundingan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan membabitkan negara pengantara Amerika Syarikat (AS) dan Mesir tidak membawa hasil setakat ini.
Ketegangan juga semakin meningkat antara Israel dan sekutu utamanya, AS susulan isu kekurangan makanan yang meruncing di Gaza dan jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat.
Kerajaan Joe Biden juga menentang rancangan Israel untuk melancarkan serangan darat ke kawasan bandar di selatan Rafah yang mempunyai seramai 1.5 juta penduduk.
Israel juga menyerang tiga hospital di Gaza yang menimbulkan kebimbangan terhadap pesakit, kakitangan perubatan dan mereka yang kehilangan tempat tinggal.
Pertempuran berlaku sejak minggu lalu sekitar Hospital Al-Shifa dan dua hospital di bandar utama selatan Khan Yunis, Al-Amal dan Nasser.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel berkumpul di sekitar Hospital Nasser dan beberapa tembakan dilepaskan.
Bulan Sabit Merah Palestin memberi amaran beribu-ribu terperangkap dalam hospital tersebut dan nyawa mereka dalam bahaya.