28 MAC : Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal disambut awal bulan depan, kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma selama dua hari di semua lebuh raya.
Inisiatif itu bagi kelas 1 di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan berkata pengecualian tol berlangsung selama dua hari bermula jam 12.01 tengah malam pada 8 April dan berakhir jam 11.59 malam 9 April.
“Pengecualian ini bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya beragama Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata KKR.
Menurut KKR, kerajaan memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta bagi pelaksanaan inisiatif tersebut.
“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia,” katanya.
KKR berkata dengan pelaksanaan pemberian tol percuma itu jumlah kenderaan dijangka meningkat di kesemua jaringan lebuh raya.
“Bagi para pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) menerusi aplikasi MyPLUS-TTA,” kata KKR.
Selain itu, KKR turut memperkenalkan aplikasi aduan menerusi MYJalan KKR yang menerima semua jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur, termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaannya.
“Aduan tersebut akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan segera,” kata KKR.
Selain itu kata KKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan lokasi kesesakan kritikal.
Langkah itu untuk menambah kapasiti selain melancarkan aliran trafik.
“Bilangan ini termasuk tiga lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan semasa perayaan Tahun Baru Cina pada Februari lalu,” katanya.