29 MAC : Semua pihak perlu mempertahan tradisi ilmu dan akliah yang dihidupkan Universiti Al-Azhar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia mungkin mampu menimbulkan kesedaran meluas umat Islam termasuk di Asia Tenggara.
“Sejarah kita ini sejarah Islam mutakhir. Tidak terpisah daripada sejarah perubahan dan islah yang dibawa oleh Al-Azhar, sama ada Muhammad Rasyid Ali Ridha, Muhammad Abduh dan Sheikh Mahmud Shaltut.
“Ini sebati dengan seluruh garis perjuangan dan kesedaran umat Islam di Asia Tenggara, termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman perutusan sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2024M/1445H dan Majlis Iftar, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar (WOAG) Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragal Tawfik Said Nasr.
Hadir sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Dekan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Fauzi Hamat.
Menurut Anwar, hubungan akrab dengan universiti Al-Azhar adalah hadiah besar yang dinikmati negara ini.
“Saya sendiri bersyukur kerana disambut baik Syeikh Al-Azhar, al-Imam al-Akbar Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb dan beliau menerima undangan untuk datang ke Malaysia.
“Saya percaya kita akan memanfaatkan, bukan sahaja dapat berkumpul dengan alumni Al-Azhar, tetapi kita akan manfaatkan waktu ini merencanakan program yang boleh dimanfaatkan umat Islam di Malaysia keseluruhannya, katanya.
Beliau juga percaya alumni Al-Azhar akan berperanan penting dalam mengatur dan menyusun program yang akan dapat beri manfaat kepada rakyat dan umat keseluruhannya.