29 MAC : Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan pihak yang menyamakan kepimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘biawak hidup’.
Beliau juga menegur tinfakan bekas ahli partinya yang mengkritik dan mencipta kebencian dalam kalangan rakyat terhadap Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Ada kumpulan yang mengatakan kononnya maklumat peribadi akan digunakan kerajaan terutamanya Kementerian Ekonomi untuk menggali maklumat-maklumat peribadi dan dikongsi dengan semua pihak…semua yang baharu pasti ada cabarannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat Banting pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menganggarkan kira-kira 22 peratus pihak menentang apa sahaja inisiatif baharu yang diperkenal oleh kerajaan.
“Ini termasuklah bekas tokoh yang mengatakan seseorang itu biawak hidup…adakah biawak hidup itu akan memberi kesan kepada keputusan oleh rakyat terutamanya dalam pilihan raya.
“Saya ingin mengatakan orang yang mengatakan orang lain sebagai biawak hidup itu dia sendiri adalah biawak hidup.
“Tanya diri sendiri sebelum menuding jari kepada pihak lain,” tegasnya.
Menurut Ahmad Zahid, golongan itu terlalu ramai dalam negara yang jika tidak dibendung akan menjadi biawak hidup yang sebenarnya.
“Dalam menghadapi bulan Ramadan, umat Islam harus berada dalam keperibadian yang baik.
“Tetapi kalau agama jadi tunggangan dan alat untuk capai matlamat, agama hanya diperlukan bila ada kematian, majlis tahlil, maka orang itu adalah biawak hidup sebenar,” katanya.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat melabel UMNO sebagai ‘biawak hidup’ dalam Kerajaan Perpaduan menerusi sesi podcastnya bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.