PM terima kunjungan pemimpin Parti Komunis China
30 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menerima kunjungan hormat Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China, Liu Jianchao di Perdana Putra, Putrajaya.
Perdana Menteri berkata semasa kunjungan hormat itu, mereka membincangkan kunjungan rasmi Premier Li Qiang sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan persahabatan Malaysia-China pada tahun ini.
Beliau berkata, mereka juga mencapai kata sepakat untuk memperkukuh kerjasama ekonomi terutama pelaburan dari China, mempertingkat kesalinghubungan selain terus menjalin usaha sama dalam lapangan pendidikan dan sektor belia.
“Liu dan saya juga bersependapat untuk mengeratkan hubungan intra-parti dan berkongsi pendirian yang jitu dan kukuh terutamanya dalam konflik kemanusiaan melibatkan Palestin.
“Hubungan Malaysia dan China pasti akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara sahabat,” katanya dalam hantaran di Facebook, lapor Bernama.
Hubungan persahabatan Malaysia-China terjalin sejak termeterainya Kenyataan Bersama antara bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Zhou Enlai pada 31 Mei 1974.
Terdahulu, Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja dua hari Liu ke Malaysia, yang bermula semalam, menyasarkan untuk menjalin kerjasama lebih erat antara parti politik di kedua-dua negara serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Liu turut melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Wisma Putra, lawatan itu menambah makna kepada sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China sejak hubungan kedua-dua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.
China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion) pada 2023.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim