Kereta kebal Israel tinggalkan Hospital al-Shifa
1 APR : Unit kereta kebal milik tentera Israel dilaporkan sudah beredar dari kawasan pekarangan Hospital al-Shifa pada Isnin
Perkara itu disahkan Kementerian Kesihatan di Genting Gaza.
Memetik laporan Agensi, kementerian itu berkata, sejumlah jasad turut ditemui di sekitar bangunan itu setelah digempur sejak lebih dua minggu lalu.
“Ada sebahagian mayat itu telah mereput,” kata kementerian.
Menurutnya lagi, rejim Zionis berundur selepas membakar kompleks berkenaan dan melumpuhkan sepenuhnya operasi di al-Shifa.
Skala kemusnahan serangan itu amat besar di sekitar kompleks yang menjadi kawasan perlindungan kepada ribuan penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal.
Sementara itu, seorang petugas perubatan mengesahkan lebih 20 mayat dijumpai dan sebahagian daripadanya dirempuh kenderaan tentera Israel ketika meninggalkan kompleks berkenaan.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan operasi pencerobohan terbaharu pada 18 Mac lalu atas alasan menyasarkan pejuang Hamas yang kononnya beroperasi di kemudahan tersebut.
Badan amal, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pula memberitahu, pasukan mereka yang ditempatkan di Hospital al-Aqsa terpaksa menghentikan operasi selepas kemudahan itu menjadi sasaran serangan udara Israel pada Ahad.