1 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa sedih terhadap laporan kes rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perlakuan itu menyebabkan negara terpaksa menanggung kerugian hampir RM2 bilion.
“Sehingga kini dengan mendapat maklumat daripada badan penguat kuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam, masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.
“Tetapi masih berlaku kecurangan yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk berita baharu dari Kastam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di PUSPANITAPURI, hari ini.
Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.
Setakat ini, 34 penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi serta memudahkan aktiviti penyeludupan.
Anggota dan pegawai penguat kuasa itu ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, isu rasuah masih diremehkan hingga terlupa perlakuan itu boleh mendatangkan kerugian kepada negara.
“Bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel, minyak makan (masak) diambil oleh kalangan tertentu, kalau kita kumpul semua, kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit,” katanya.